Seram! Misteri Kaki Mencari Tuannya | Sesuatu yang dianggap misteri apabila roh si mati kembali ke rumahnya untuk menyampaikan sesuatu mesej kepada waris. Kisah seperti ini pernah ditayangkan dalam drama Tanah Kubur. Ia berkisarkan seorang lelaki yang terlibat dalam kemalangan
dan maut di tempat kejadian. Tanpa disedari rupa-rupanya terdapat
cebisan anggota badannya terlekat di bahagian motosikal. Kemudian si roh
datang dan meminta untuk menyempurnakan jasadnya yang masih berbaki
lagi. Maka, kisah di bawah ini pula adalah tentang sepasang kaki yang tiba-tiba muncul di rumah si mati. Apakah mesej yang ingin disampaikan?
Sudah 15 hari Hashim dikebumikan selepas maut dalam satu kemalangan di simpang 3. Namun kesedihan Zaoyah masih belum reda. Kematian suami tersayang membuatkan Zaoyah bagaikan helang kepatahan sayap. Tempat bergantung juga sudah tiada, tempat bermanja jauh sekali.
Zaoyah masih ingat ketika pagi kejadian,
dia masih di dapur apabila Hashim memberitahu dia terpaksa ke tempat
kerja lebih awal pagi ini. Zaoyah hanya sempat membancuh milo, tetapi
sarapan masih terjerang di atas dapur.
“Tunggu sambal tumis masak sekejap bang,” ujar Zaoyah sambil menghidangkan nasi lemak yang masih berasap.
“Tak apalah Yah, tengahari nanti abang
balik, abang makanlah nasi lemak tu,” ujar Hashim. Dia kelihatan begitu
tergesa-gesa. Topi keledar dicapainya dan terus disarung ke kepala. Stokin dan kasut dipakai secepat kilat dan Hashim terus menuju ke tempat letak motorsikalnya.
Sebaik sahaja Hashim pergi, Zaoyah
menutup semula makanan di atas meja. Rengekan Azril, anak bongsunya
segera menarik perhatiannya. Zaoyah mematikan api dapur dan terus ke
bilik. Azril sudahpun bangun tetapi tangisannya sangat luar biasa dari
hari-hari sebelumnya.
Zaoyah hairan. Dia merasa seluruh tubuh
Azril. Tidak pula panas kalau nak dikatakan demam. Zaoyah memujuk Azril
sambil menggantikan lampin. Kemudian mendukung anaknya ke dapur. Zaoyah menyuapkan telur rebus ke mulut Azril tetapi anak kecil itu menolak.
Zaoyah hairan. Anaknya tidak pernah begitu sebelum ini. Jam sebelas
pagi baharulah Azril berhenti menangis. Selepas menyusu Zaoyah
menidurkan Azril di dalam biliknya.
Sedang Zaoyah memanaskan lauk di dapur,
tiba-tiba perasaannya menjadi tidak enak. Apabila terpandang nasi lemak
Hashim di meja, perasaannya menjadi semakin tidak menentu. Deringan
telefon membuatkan Zaoyah tersentak. Dia segera menjawab panggilan di
ruang tamu.
“Ya Allah…abang..,” tiba-tiba Zaoyah
menjerit sebaik sahaja mendengar berita yang disampaikan. Hashim
terbunuh dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
Pandangan Zaoyah kelam, dia rebah tanpa meletakkan gagang telefon di
tempatnya. Mujurlah jeritannya di dengar Pak Busu yang sedang mengayuh
basikal melintasi halaman rumah Zaoyah. Pak Busu segera memanggil jiran-jiran wanita untuk membantu Zaoyah. Zaoyah hanya tersedar apabila jenazah Hashim sampai selepas Zuhur di rumahnya.
“Yah, kalau nak tengok muka Hashim buat
kali terakhir, tengoklah. Tok dah buka kapan di mukanya,” ujar Tok Imam.
Zaoyah merenung mayat Hashim yang sudah dimandi dan dikapankan oleh
pihak hospital. Bagai tidak terdaya Zaoyah hendak menatap wajah suami
tercinta. Terkilan hatinya kerana Hashim tidak sempat menjamah nasi
lemak kegemarannya pagi tadi.
Walaupun sudah 2 minggu berlalu, Zaoyah
masih menangisi kematian Hashim. Adik-beradik dan sanak saudara sudah
pulang ke rumah masing seorang demi seorang. Seperti malam-malam yang
lalu, Zaoyah gagal melelapkan matanya. Kenangan dan ingatannya hanya
kepada Hashim. Setiap kali rindunya memuncak dia akan membaca surah
al-Fatihah dan al-Ikhlas, lalu dihadiahkan kepada allahyarham. Hanya
itulah ubat yang mampu menenangkan jiwanya. Kalau dia tidur pun, hanya
tidur-tidur ayam. Sering dia terjaga di tengah malam dan pasti tidak
mampu terlena lagi hingga ke pagi.
Malam itu Zaoyah gagal melelapkan matanya
lagi. Walaupun kokok ayam yang pertama sudah kedengaran, matanya tidak
mengantuk sedikitpun. Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi tapak kaki
menapak di lantai rumahnya. Zaoyah terkejut. Tak mungkin anak sulungnya
Shahril bangun tengah-tengah malam. Shahril tak pernah bangun tengah
malam sebelum ini. Zaoyah dapat mendengar bunyi tapak kaki yang mundar mandir ke hulu ke hilir. Tetapi kedengarannya seperti bukan berjalan, tetapi melompat setapak-setapak.
“Kucing agaknya,” bisik hati Zaoyah. Dia
membiarkan bunyi tapak kaki itu menghilang. Ketika azan Subuh
berkumandang. Zaoyah segera bangun dan menunaikan solat Subuh. Ketika
remang Subuh mendatang, Zaoyah segera menjerang air dan mengejutkan
Shahril untuk ke sekolah. Zaoyah segera mengenepikan perasaan sedihnya
jauh-jauh apabila berdepan dengan anak-anak.
“Sekolah pandai-pandai Ril, abah kau dah
tak ada. Kaulah ganti abah nak jaga mak bila tua nanti, nak tolong mak
besarkan adik,” pesan Zaoyah kepada Shahril yang sedang menikmati minum
paginya. Shahril segera mengambil beg sekolahnya dan keluar memakai
kasut. Belumpun Shahril duduk, dia terpandang bekas tapak kaki di atas papan tangga menuju ke rumah. Kemudian di atas lantai menghala ke dapur dan ke bilik Zaoyah.
“Mak! tapak kaki siapa ni mak?” jerit
Shahril. Zaoyah bergegas mendapatkan anaknya. Dia juga hairan melihat
bekas tapak kaki berlumpur di atas lantai. Zaoyah segera teringat apa
yang didengarnya malam tadi. Mungkinkah ada orang naik ke rumahnya malam
tadi. Tapi siapa?
Perasaan Zaoyah jadi tidak menentu. Ini
mesti ada orang yang berniat tidak baik terhadapnya. Baru tiga minggu
dia menjanda,sudah adakah lelaki yang menaruh hati kepadanya?
Zaoyah segera membersihkan kesan tapak
kaki di atas lantai tersebut. Sambil hatinya berdoa, janganlah ada
apa-apa musibah yang menimpa dia dengan anak-anak. Malam itu Zaoyah memastikan semua pintu dan tingkap rumahnya berkunci dan bermangga. Kalau ada orang yang nak buat jahat pun, mereka tentu akan mengambil masa untuk membuka pintu dan tingkap rumahnya.
Tetapi malam itu sekali lagi Zaoyah
dikejutkan oleh bunyi yang sama. Zaoyah sengaja mengajak Shahril tidur
bersama di biliknya. Shahril dan Azril tidur di atas katil sedang Zaoyah
tidur di atas tilam yang terhampar di atas lantai. Zaoyah bingkas
bangun sebaik sahaja mendengar bunyi tapak kaki tersebut. Dia mengintai
dari pintu biliknya, siapa agaknya yang berani naik ke rumahnya. Tetapi
alangkah terkejutnya Zaoyah apabila melihat sekerat kaki dari betis ke bawah sedang menapak di atas lantai rumahnya.
Zaoyah mengamati kaki tersebut. Dia terkaku melihat kaki tersebut
terlompat-lompat mundar mandir di ruang tamu rumah. Tiba-tiba Zaoyah
teringat sesuatu.
“Ya Allah, abang Hashim…” bisik Zaoyah
apabila mengenali kaki itu adalah milik suaminya. Serentak dengan itu
kaki tersebut hilang dari pandangan. Zaoyah bagai bari tersedar dari
mimpi. Serentak itu juga tubuh Zaoyah disimbahi peluh dingin dan sejuk.
Zaoyah tidak berani hendak keluar dari biliknya. Malah keesokan paginya,
dia menunggu sekeliling cerah lebih dahulu baharu dia mengejutkan
Shahril. Shahril tidak diberitahu apa yang berlaku. Malah ketika Shahril mengadu tentang tapak kaki tersebut, Zaoyah cuma meminta Shahril supaya tidak mempedulikannya.
Petang itu Tok Imam datang ke rumah
Zaoyah. Dia hendak melihat sendiri bekas tapak kaki yang dikatakan oleh
Zaoyah. Zaoyah ke rumah Pak Imam untuk meminta pandangan mengenai tapak
kaki dan kaki Hashim yang dilihatnya.
“Memang saya nampak kaki dia Tok,” ujar Zaoyah sedih. “Apa alamatnya tu Tok?” soalnya lagi. Tok Imam memikir-mikir sebentar.
“Ada yang tak kena ni Yah”, ujar Tok
Imam. Zaoyah tidak faham apa yang dikatakan oleh Tok Imam. Keesokan
harinya, Tok Imam mengajak beberapa orang kampung ke tempat Hashim di
tempat kemalangan. Tok Imam sendiri mencari di kawasan kemalangan sambil
diperhatikan oleh orang-orang kampung yang lain.
“Subhanallah,” tiba-tiba Tok Imam bersuara lantang. Orang-orang kampung segera menghampiri Tok Imam. Mereka terkejut apabila melihat sebelah kaki Hashim terlindung di sebalik daun-daun keladi di dalam selut.
“Kau ambik benda ni, bawa ke masjid. Kaki ni kita kena mandikan dan kapankan. Lepas tu kita kena kebumikan,” ujar Tok Imam. Zaoyah terkejut apabila diberitahu penemuan kaki Hashim di dalam semak di tempat kemalangan.
“Mungkin yang datang tu roh dia, minta
disempurnakan. Itu sahaja yang Tok boleh katakan. Wallahualam,” ujar Tok
Imam ketika Zaoyah bertanya mengapa dia melihat kaki Hashim berjalan di
dalam rumah.
Selepas kaki Hashim dikebumikan, Zaoyah tidak mendengar lagi bunyi orang berjalan di dalam rumahnya.
No comments:
Post a Comment